Peluang Usahawan

Peluang Usahawan

Generasi Muda & Wang

Bantu generasi muda elak terjebak hutang

kali ini saya kongsikan bacaan bermanfaat bagi generasi Gen Y Artikel dari Sinar Harian, 8 Disember 2014...


AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah agensi utama yang menawarkan pendidikan kewangan di Malaysia.

Sebagai sebuah agensi di bawah Bank Negara Malaysia, AKPK menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada orang ramai.

Perkhidmatan yang disediakan termasuk pendidikan kewangan, kaunseling kewangan serta program pengurusan kredit di 11 buah pejabat cawangan AKPK dan 12 pejabat kaunseling di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, pada masa sama, AKPK fokus untuk meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap celik kewangan bagi menghindar hutang.

“Kami sedang berusaha menuju ke arah meletakkan AKPK sebagai agensi utama memberikan perkhidmatan pendidikan kewangan di Malaysia.

"Kami menyediakan satu landasan untuk pengguna melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan kewangan serta mempelajari asas produk kewangan, kewajipan sebagai seorang peminjam, dan asas pengurusan kewangan peribadi.

"Dan kami beri fokus utama kepada golongan muda untuk meningkatkan tahap celik kewangan di kalangan mereka bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan masalah hutang.”

“Inisiatif pendidikan kewangan yang kami sediakan, merangkumi pelbagai fasa kehidupan seperti alam pendidikan tinggi, alam pekerjaan, alam berkeluarga dan alam persaraan. Untuk memastikan fungsi AKPK dapat ditujukan kepada kumpulan sasaran, kami sedang berusaha berkolaborasi dengan pelbagai agensi dan organisasi, mempelbagaikan kaedah pembelajaran sendiri melalui aplikasi dalam talian, pusat sumber maklumat dan training-of-trainers (ToT) serta seminar atau taklimat pendidikan kewangan, pameran dan siri jelajah," katanya.

Azaddin berkata, untuk mempromosikan modul kewangan AKPK, agensi berkenaan telah menjalinkan kerjasama strategik dengan organisasi dan badan-badan tertentu bagi membolehkan maklumat berkaitan pendidikan kewangan dapat diberikan kepada kakitangan dan pelanggan mereka.

Setakat ini, AKPK telah berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan organisasi seperti Lions Clubs International dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sertaberkolaborasi bersama Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI).

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa AKPK merupakan pengendali pendidikan kewangan dan AKPK harus menjadi pilihan pertama bagi orang ramai untuk meminta nasihat mengenai pengurusan kewangan sebelum membuat sebarang keputusan kewangan yang penting. Perkhidmatan kami ditawarkan secara percuma dengan harapan supaya orang ramai dapat mengawal kewangan mereka dengan lebih efektif.

“Isu yang menjadi satu cabaran untuk kami sekarang adalah campur tangan pihak ketiga atau mereka yang mengaku diri mereka sebagai ejen AKPK yang meminta bayaran daripada pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan kami.

"Sehingga hari ini, AKPK tidak pernah melantik mana-mana individu atau organisasi sebagai ejen kami.

Untuk menyebarkan hal ini, kami sedang bekerjasama dengan pihak media, kaunselor dan pelanggan-pelanggan kami untuk bersama-sama mendidik dan memaklumkan kepada orang ramai bahawa kami tidak mengenakan sebarang bayaran untuk perkhidmatan kami.

Apa yang anda perlu lakukan adalah menghubungi kami atau datang sendiri ke pejabat kaunseling berdekatan untuk mendapatkan bantuan," ujar beliau panjang lebar menerusi satu kenyataan media.

Dalam pada itu, AKPK berhasrat menjadikan pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup untuk semua rakyat Malaysia.



ZULAIKHA (Muqmeen Group)
019.3306849
Protect Your HEALTH & WEALTH